Selasa, Januari 08, 2008

MODAL INSAN

Bab5 : Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010

MEMBANGUNKAN MODAL INSAN


PENGENALAN


5.01 Aset yang paling berharga bagi sesebuah negara adalah warganya. Modal insan inilah yang merupakan aset yang boleh disuntik nilai tambahnya, ditingkatkan nilai inteleknya serta diperkaya modal budayanya. Pembangunan modal insan adalah penentu bagi meningkatkan daya saing dan produktiviti negara. Bersesuaian dengan kehendak industri serta pasaran semasa dan masa hadapan, pembangunan modal insan perlu dirancang dengan rapi agar dapat meningkatkan bina upaya generasi muda Malaysia ke arah melahirkan guna tenaga yang terlatih dan berdaya saing, sepadan dan mencukupi dengan keperluan negara pada 2020.
5.02 Pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju 2020. Modal insan yang ingin dihasilkan perlu mampu untuk berfikir secara kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang-peluang baru, mempunyai ketahanan serta kebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran dunia global yang sering berubah-ubah.
5.03 Tugas KPM adalah untuk menyediakan generasi muda Malaysia dengan seluas-luas peluang bagi memperkembangkan potensi diri, melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan membentuk ciri-ciri keperibadian dan perspektif hidup yang membolehkan mereka berjaya dalam kehidupan dan mampu memajukan lagi negara di mata dunia, selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. (bacaan lanjut ) http://www.moe.gov.my/