Khamis, Januari 17, 2008

JOM BERKHEMAH



Perkhemahan merupakan salah satu aktiviti luar dimana seseorang itu perlu berada dan tinggal buat sementara waktu di medan terbuka seperti di hutan, tepi pantai dan lain-lain kawasan. Semasa berkhemah setiap aktiviti perlu dilaksanakan secara bersendirian atau berkumpulan seperti penyediaan makanan, kebersihan tempat dan aktiviti-aktiviti lain.

PEMILIHAN TEMPAT

Pemilihan tempat untuk mendirikan khemah hendaklah dibuat satu jam sebelum hari gelap bagi kawasan terbuka di mana tanahnya rata dan 2-3 jam sebelum hari gelap di kawasan berbukit, tanah tinggi atau gunung.

CIRI-CIRI PEMILIHAN TEMPAT

a.Tanah rata supaya selesa berbaring.

b.Dekat dengan sumber air bagi memudahkan kerja-kerja memasak, mandi dan mencuci.

c.Mempunyai hubungan baik dengan trek supaya mudah bergerak sekiranya berlaku kecemasan.

d.Terdapat perlindungan daripada bukit atau pokok dan tidak terdedah kepada ancaman angin. Elakkan tebing-tebing bukit yang mungkin runtuh berpunca daripada hakisan.

e.Boleh mendapatkan sinaran matahari pada waktu pagi untuk mengeringkan udara lembap dalam khemah dan jugauntuk mengeringkan pakaian dan peralatan yang basah.

f.Mempunyai pemandangan yang menarik supaya seronok dan lapang melihatnya.

g.Pastikan tempat yang dipilih tidak mempunyai kesan tapak kaki binatang buas, najis binatang atau sumber makanan binatang seperti kawasan buluh dan pokok pisang.

h.Jangan sesekali mendirikan khemah di kawasan denai binatang. Kerana dikhuatiri khemah kita akan menjadi mangsa rempuhan binatang yang menggunakaan denai tersebut.

PENYUSUNAN TAPAK PERKHEMAHAN

Penyusunan tapak perkhemahan penting untuk memberikan keselesaan dan ianya mengambil kira faktor keadaan mukabumi kawasan tersebut. Bagi kawasan yang sempit dan memanjang, mendirikan khemah dalam satu barisan dianggap sesuai. Walaubagaimanapun jika kawasan itu agak lebar, dua barisan perkhemahan adalah lebih baik. Untuk kawasan yang lapang, system bulatan merupakan susunan yang paling sesuai sedangkan bagi kawasan yang tidak menentu keadaan tapaknya, perkhemahan secara berselerak bolehlah dibuat mengikut keadaan tempat tersebut.