Rabu, Jun 08, 2016

TIDUR SURAU

Budaya tidur surau sudah lama sebati dengan aku. Aku, Piah dua pupu aku dan Man teman sekampung aku, kadang-kadang kami di teman aruah adik aku, abang Piah Aruah Asri, Pak Cik Apek dan beberapa orang kawan sekampung kami yang lain. Kalau cuti sekolah lagi meriah, masing-masing akan bawak bantal dan cadar almaklum di surau mana ada semua tu kecuali selepas ada dua orang kampung yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan aku meninggal dunia serentak kerana kemalangan jalan raya, emaknya wakafkan untuk kegunaan musafir mungkin. Tetapi tilam itu menjadi ketakutan kami sewaktu kecil . Jadi tilam tu tersorok di atas para ruang solat kaum muslimat. Ketakutan kami lebih mendalam bila ada suara-suara sumbang yang kata masih ada kesan darah . Seingat aku sekali sahaja aku gunakan tilam itu apabila aku menanti rakan-rakan aku yang lain tidur surau, ketika itu ayah aku ada lagi di atas surau sehingga aku terlena dan ayah aku telah balik, disebabkan tidak selesa aku mengambil tilam itu dan sejadah dibuat alas, sedang-sedar sudah subuh dalam ketakutan tidur seorang diri itu. Budaya kampung kami tidur surau ini bermula dengan kehadiran seorang guru agama. Tuan Haji Izuddin dari Perak Tengah. Umurnya seingat aku 80 tahun lebih. Pakaiannya hanya berjubah dan berserban putih setiap kali datang, bercapal dan memegang sebatang tongkat rotan, kadang kala aku memberanikan diri memegang tongkat itu yang tersandar di tangga batu surau kayu kampong kami. Dan dia aku kira uzur dan sedikit cacat kerana kakinya tidak boleh dilipat sewaktu duduk antara dua sujud. Kaki kanannya itu akan dilunjur dan sedikit lambat pergerakannya. Aku ketika itu berumur awal sekolah rendah lagi. Tuan Guru ini akan sampai di surau kampung kami sebelum zohor lagi. Selepas itu dia akan mula mengajar kaum ibu selepas solat zohor sehingga solat asar. Selepas Asar selalunya diperuntukkan kepada sesiapa yang nak berziarah, sebab tuan guru ini membawa kita-kitab jualan, kadang-kadang ada juga kain pelikat dan batik. Ramai juga yang membeli atau paling kurang sekadar membelek-belek tak terkecuali emak aku juga. Kemuncaknya selepas solat maghrib. Surau kampung kami yang kecil tu sendat dan padat dengan Jemaah yang datang. Kadang-kadang penduduk kampung sebelah pun hadir juga. Tuan Guru ini akan mengajar pelbagai doa-doa dan amalan harian. Satu kegaguman yang aku masih ingat jika sesuatu doa itu diajar dan kena diamalkan sebanyak 100x Tuan Guru ini akan mengajar dan membacanya sebanyak 100 kali pada masa itu juga. Mungkin ini cara pengajarannya yang sangat berkesan. Kadang-kadang bacaan itu habis apabila telah masuk waktu solat isyak. Jadi tidaklah banyak yang dijarnya tetapi amalan dan bacaan tersemat dihati, begitu berkat ajarannya. Esok pagi selepas subuh dia akan mengajar sekali lagi sebelum balik entah kemana aku pun tak pernah tanya. Pemandu pun sesiapa yang sudi menumpangkannya. Aku kira dia juga biasa berjalan kaki sebab tongkatnya selalu ada ditangannya. Entah balik ke rumah atau ke surau lain entahlah, aku pun tak pernah tanya. Aku ketika itu akan sentiasa berada di surau, sebabnya ramai orang membawa jamuan dan makanan yang enak-enak jadi sapa lagi yang nak menghabiskannya ?. Tuan Guru itu hanya amakan setengah pinggan dan selebihnya untunglah yang tidur surau itu. Budaya tidur surau ini berterusan sehingga satu hari aku mendengar Tuan guru ini telah meninggal dunia kemudiannya. Dia digantikan oleh seorang ustaz yang aku tak Ingat namanya dari Teluk Intan dengan konsep pengajaran yang hampir sama. Tapi tak seberjaya Tuan Haji Izuudin yang aku kira seorang sufi sebab sepanjang aku tidur surau hanya sekali aku melihatnya berbaring selebihnya banyak di atas tikar sejadah. Aku pernah mengendap bila dia nak tidur, kami selalunya di ruang solat wanita dan dia di ruang solat lelaki. Antara itu ada papan yang menghadang serta langsir tapi masih boleh lihat di bawahnya. Hanya sekali dalam pengalaman itu aku lihat dia berbaring tapi apabila melihat tangannya tasbih masih berjalan ditangannya aku kecewa. Dia masih belum betul-betul lena. Tapi aku yang lena sehingga subuh. Imam utama dikampung aku waktu itu Tok Saudara Aku Haji Mohamed Arif dan dibantu oleh ayah aku dan bapa saudara aku sendiri Haji Ismail yang aku panggil Ayah Akak. Haji Mohd Ariff ni boleh kira garang orangnya. Aku sanggup ambil jalan lain dari lalu depan matanya. Ada sahaja yang tak kene, contohnya kalau baju untuk solat pakai baju yang bawak pergi main atau berjaan-jalan pasti ditegurnya walaupun baru basuh. Maksudnya pakaian solat mesti khusus tak boleh bercampu-campur. Dengan selalu bermalam di surau, aku sudah biasa membuat kerja-kerja sampingan dan kemasyarakatan. Aku masih ingat ketika masih belum ada elektrik aku akan memperhati lampu gasoline dihidupkan. Tapi ingatan tak lama bermain diminda mungkin waktu itu aku masih kecil lagi. Waktu azan aku akan melaungkan azan masa itu belum ada lagi imam muda atau pencetus ummah. Aku dah lebih awal jadi muazzin muda. Sebelum itu kene ketuk kerentung dulu. Seingat aku disurau itu dua kali kerentung ditukar. Ayah akulah yang membuatnya. Kayunya dibagi oleh Tok Uda Bulat orang lama di kampong aku. Tapi bab yang paling seronok ditunggu ialah membasuh kolah. Kolam bersaiz 5x5 itu jadi tempat kami berkubang. Bagi seorang anak kampong apa lagi hiburan yang ada pada masa tu. Berendam dikolah macam-anak aku sekarang pantang diajak mandi kolam. Sememangnya seronok main air. Jika ayah aku atau Ayah Akak bagi lampu hijau itu sudah memadai. Kolah tu kadang-kadang tak adalah berlumut sangat tapi seronok juga berkubang. Tetapi kene tengok Tok Uda Arip jugak mana tahu tiba-tiba dia datang jawabnya mandi sekejap sahajalah. Lepas tu air akan ditadahkan semula. Aku akan pastikan paip air ditutup bagi mengelakkan melimpah. Kehidupan aku di surau dan budaya tidur surau membuat aku amat rapat dengan kehidupan dalam masyarakat yang berpusat di surau. Surau tua yang penuh kenangan. Apa sahaja majlis dikampung kami akan bermula di surau itu. Sebutlah majlis apa sahaja, maal hijrah, maulud nabi, israq mikraj, menyambut puasa pasti aka nada sahaja majlisnya, penduduk kampung yang jarang-jarang ke surau pun akan turun sama. Ayah aku akan menentukan menu dan menyediakan bahan-bahannya, pagi-pagi lagi dia akan ke pasar mencarai itu dan ini. Ayah Akak akan menumpukan aktiviti di atas surau serta pengisiannya. Ayah Akak mempunyai suara yang merdu, bertaranum bila mengaji, bermarhaban dan berzanzi. Sememangnya dia seorang Qari dan sering memasuki pertandingan Tilawah di Peringkat Daerah, di kampung kami memang tiada tandingan. Ayah aku pulak dengan keriuhan suaranya di tempat masak. Ruang masak ada sedikit bumbung dan terletak di sedikit tanah tinggi di penjuru tangga surau di depannya ada sebatang pokok ganjus. Anak-anak muda dikampung aku suka dengan pendekatan ayah, cerit-cerita dan celotehnya sambil menunjukkan itu ini untuk menyedapkan menu yang dimasaknya. Sebutlah menu apa sahaja pasti sedap tetapi aku masih tak boleh lupa daging masak kurma dan kentang dan dimasak sekali dengan bawang besar. Aruah ayah aku dan ayah akak adalah gabungan yang sangat sempurna di mata aku ketika itu, walalupun keduanya sebenarnya adalah berhijrah sebab berkahwin. Mak aku dan isteri ayah akak dua beradik. Mak aku dpanggil andak atau mak andak jadi automatik ayah aku jadi Pak andak. Ayah akak pula dipanggil mak lang. tapi aku memanggil keduanya mak dan ayah jugak. Ayah aku asal dari Kampung Baharu dan Ayah Akak dari Kampung Sitiawan. Kedua-dua kampong ini boleh dilalui dengan jalan laut atau darat ketika itu. Kampung ini mempunyai sejarah hubungan kekeluargaan yang panjang sehingga kini. Kampung aku dihulu sungai SItiawan dan Kampung Baharu di Sebatang Sungai yang keduanya bercantum d Selat Dinding dan boleh di dilalui melalui laut sehingga ke Pulau Pangkor. Selepas Tok Arif meninggal dunia, gabungan ayah aku dan ayah Akak makin rancak dengan pelbagai aktiviti aku pun sudah menganjak ke remaja. Anak-anak Tok Arif hanya sebagai pembantu sahaja masa itu. Anak anaknya yang duduk di kampung Andak Judin Alang noriah dan Mak Itam Limah dan Pak Cu Ee yang bongsu. Aku pula sebagai orang kanan ayah aku dan ayah akak juga. Tak cukup garam aku akan disuruh ayah amik dirumah. Masuk azan Ayah Akak panggil aku naik ke atas surau jugak, begitulah kehidupan aku sewaktu itu. Benar-benar menjadi orang suruhan yang setia. Piah juga mempunyai suara yang sedap bila azan, jadi kadang-kala kami akan bergilir-gilir untuk azan. Tempat kami bermain di laman rumah Man, entah kenapa dalam banyak-banyak tempat di situ kami bermain. Tapi dekat nak maghrib aku akan balik awal untuk ke surau mengaji al quran sudah pasti. Aku mula mengenal alif, ba, ta dengan aruah opah sebelah emak aku tapi khatam dengan aruah ayah. Garangnya jangan ditanya. Ayah aku tak pernah marah aku disebabkan nakal tetapi akan menyinga jika aku tak lancar ketika membaca Al Quran. Tak berapa lama, kami mendapat guru Tuan Haji Ismail Imam Masjid yang mempunyai hubungan kekeluargaan juga dengan kami mengajar fardhu ain, dan sifat 20 di surau. Aku, Ja, Ogy dan beberapa orang lagi. Tapi tak lama sebab selepas itu Tuan Imam yang kami panggil Oyang ini meninggal dunia. Setahun sekali surau kami akan menganjurkan Program Qiamullail yang aku kira program yang besar dan tersusun penganjurannya bagi kampung kecil kami. Siap ada buku program dan selalunya berlangsung dua hari satu malam. Jamuan yang sedap-sedap pun disediakan. Kurma daging kegemaran aku pasti ada tetapi kadang-kadang menu bertukar daging masak kicap, ikan temenung goreng dan sambal kuinin… makan berebut-rebut memang berselera. Bila sudah makan sudah pasti ada bab membasuh. Kalau Alang Noriah anak Tok Uda Arif ada tak apala dia boleh mengetuai kaum ibu untuk membasuh tapi ada jugak kadang-kadang tinggal kami sahaja yang nak bermalam ni. Sudah nasib badan. Kalau tak basuh kene marah dengan ayah pulak. Kalau bulan puasa aku akan jaga bab-bab moreh,memasak air menggunakan cerek elektrik yang pertama kali aku guna, kadangkala aku cuba celup tangan ke dalam cerek memastikan airnya sudah mula dipanaskan. Aku akan membancuh teh o dan menghidang apa sahaj menu yang ada. Kadang-kadang ada majlis berbuka puasa. Ayah Akak rajin berbuka di surau tetapi aku selesa di rumah sahaja tapi tetap solat maghrib di surau sebab dekat sahaja dengan rumah aku, melalui batas ubi dan semak di kiri kanannya, hendak sampai di surau ada titi dan parit, kadang-kadang aku mengail ikan sepat dan puyu. Apabila malam raya ramai penduduk kampung kami yang akan balik kampung, maka kampung kami akan lebih meriah lagi, Jadi ramailah yang tidur surau. Kampung kami juga akan berlarak dari rumah ke rumah bertakbir pada malam syawal sampai ke tengah malam. Ikut tuan rumahlah hendak hidang atau tidak, selalunya dah tak lalu makan sebab semua dah kekeyangan, jikalau ada kacang goreng dan kacang kuda bole dibawak bekal pula, diletak dalam poket baju melayu. Aku teringat satu kisah malam raya ni yang jatuh pada malam jumaat, Kebetulan pada malam tu hujan. Aku menadahnya kononnya ada keberkatan air hujan malam jumaat di malam syawal pula tu. Jadi dalam ramai-ramai tu yang nak bancuh air dan membuang air hujan yang aku tadah tadi kerana ingatkan air biasa. Ayah aku smbil melawak marah. Aku hanya menggeleng kepala sahaja. Yang lain hanya tegelak dan bercerita bermacam-macam kenangan lama dan rancangan nak beraya di mana. Topik yang paling diminati sudah tentulah aktiviti kelaut siapa yang dapat ikan besar dan bercerita lubuk di sana sini yang boleh dipasang pukat atau rawai. Ayah pun membuka cerita sama, kerana dahulu sebelum ayah seorang nelayan di Pulau Pangkor. Begitulah meriahnya kami pada malam itu sehingga ke subuh. Budaya tidur surau ini berterusan agak lama sehingga aku bersekolah menengah tapi ahlinya semakin kurang mengikut peredaran masa dan tinggal aku, Piah dan Man yang masih setia. Budaya tidur surau ini menjadikan aku dengan aktiviti surau sangat rapat. Aku masih teringat pada satu tahun tu aku memasak bubur asyura seorang diri. Ayah aku hanya memberi arahan sahaja dari atas surau, nak bubur asyura ni kene merebus berapa lama beberapa jenis kacang. Ada kacang kuda, kacang hijau dan bebrapa jeneis lagi. Jadi aku lah yang menunnggunya dari pagi, kawan-kawan hilang ke mana. Kadang-kadang jadi letih pulak tapi nak melawan cakap ayah bukan akulah pulak. Aku masih ingat sehingga petang apabila dah bubuh santan baru ayah mengambil alih dengan beberapa orang kampung. Aku akan mengedarnya pula ke rumah-rumah selebihnya buat jamuan selepas maghrib di surau. Surau kami juga amat terkenal dengan malam qiamullail yang aku kira memang antara program yang sentiasa dinantikan. Kadang-kadang Jemaah dari luar pun datang jugak. Selalunya bermula selepas zohor dan tamat selepas subuh esoknya. Surau akan mengeluarkan belanja yang besar dan sesetengahnya didermakan penderma-penderma yang nak bersedekah. Ayah dan pasukannya akan memasak. Pastinya menu yang aku nantikan kurma atau kari daging. Ayah memang tukang masak yang sedap. Di mana ayah belajar entahlah mungkin disebabkan aruah ayah dulu duduk dengan neneknya selepas datuk aku berkahwin lain dan menetap di kampung berlainan. Anak-anak muda dikampung aku Pak Lang Sijoi, Andak Atan, Kasim, Pak Uda Jenei, Pak Su Mat Noor, Pak Cik Apek, Meon dan Elan lebih akan membantu ayah di dapur. Aruah ayah adalah seorang pencerita, kisahnya akan menarik ramai anak-anak muda ini. Aku hanya memasang telinga dan mencuri-curi mendengan. Kisah yang selalu dibualkan hanyalah kisah ikan, memancing dan lubuk-lubuk ikan. Ikan sapa yang besar dan di mana lubuknya. Itulah kisah yang paling menarik pada masa itu bagi anak-anak muda di kampung kami. Aku mencuri-curi mendengar dan sebenarnya banyak kisah itu ayah telah ulang beberapa kali sampai aku pun dah tahu kisah sebenarnya. Aku tahu mereka pun dah biasa mendengar cerita itu berulang-ulang kali. Sambil-sambil itu ayah akan memberi arahan untuk membubuh bahan itu dan ini bagi menyedapkan hidangan. Kaum ibu pulak akan turut samu membantu, ada yang memotong bawang, mengemas pinggan mangkuk dan menghidang. Apabila ayah menjerit siap… semua orang sungguh seronok. Apatah lagi mencedok makan dan nasi yang panas-panas. Kami yang masih kanak-kanak tak terkecuali. Aktiviti di atas surau pun tak kurang hebatnya. Ayah Akak akan mengetuai aktiviti di surau, ada berzanzi, bermarhaban dan berqasidah. Di kampung kami ada satu qasidah yang sungguh merdu dan aku tidak pernah dengar lagi di amana-mana selain dari surau kampung kami. Apabila qasidah ini di baca dengan penuh khusyuk dan bersungguh-sungguh kadang kadang sambil begegar surau. Tapi walaupun aku akan membantu ayah mengambil itu dan ini. Aku jugak akan dipanggil Ayah Akak untuk membantunya di atas surau, kadang-kadang aku disuruh azan dan berselawat sementara menanti azan. Aku menjadi pembantu setia pada Ayah Akak juga tambahan pula dia tak ada anak lelaki lagi semasa tu. Sehingga Ayah Akak berkahwin seorang lagi. Aku pun akan membantu sedaya mungkin kadang-kadang tetapi jadi kelam-kabut pulak dapat arahan serentak. “Atan ! zohor dah pi azan”. Laung ayah akak. “ Atan, cr susu buat air bandung” jerit ayah pulak. Jadi aku tanpa bantah akan buat kedua-duanya. Apabila sebelah malam selepas ceramah balik, kami akan tidur surau beramai-ramai. Aku dan Piah dan Man yang dah memang kaki tidur surau tak terkecuali. Kampung aku yang diberi nama Al Kamaliah sememangnya aktif sehingga ke hari ini. Jarang-jarang sekali tiada sambutan pada apa sahaja perayaan dalam kalender islam. Pada bulan raya haji sekurang-kurangya seekor lembu dah tentu dikorbankan. Begitulah kehidupan di kampung , suka menumpang kenduri, ada yang mampu menyumbang wang ringgit, yang kurang mampu menyumbang barangan kopi dan gula atau pun sekurang-kurangnya menyumbang tenaga. Ramai dermawan dikampung tidak terkecuali juga yang tinggal di Kuala Lumpur. Kadang-kadang warga kampung kami di sana lagi berpengaruh. Dato’ Shahar Sidek Mantan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan adik ipar Tok Ngah setiap tahun mesti menyumbang seekor lembu. Begitu juga Pak Uda Ajit dan Pak Ngah Razali sumbangan mereka kepada surau kami memang banyak. Mereka korporat yang berjaya di Kuala Lumpur. Apabila mendapat dana dari luar Ahli Jawatankuasa surau akan sedaya upaya membuatnya, mereka sangat taat denagan arahan dari sana, umpama dapat arahan dari Raja kepada rakyat saja gayanya, semacam berdosa jika tak ditunaikan hajat orang-orang Kuala Lumpur ini, aku tahu ada yang membayar bil air dan elektrik setiap bulan, moga rezeki mereka semakin murah dengan membuat amal jariah ini. Selepas beberapa lama surau kampung aku berpindah kerana mendapat sumbangan pihak-pihak tertentu dari tapak asal. Tapak baru ni memang tidaklah asing dengan kami kerana disebelahnya ada gelanggang badminton. Betul-betul di tapak rimbunan buluh yang memang digeruni waktu kecil dulu, ada busut jantan dan pokok jambu air tapi semuaya ditebang bagi membina surau baru. Stesen KomUnikasi Tentera Laut Diraja Malaysia yang berada di depan kampung kami menyumbangkan cermin tingkap baru yang masih elok kerana mereka mengubah suai surau mereka. Tambahan aruah ayah aku mempunyai hubungan hubungan baik dengan Aruah Ustaz Wahid Imam KAGAT di surau itu, kadangkala surau SL TLDM ni menjemput kami ke surau mereka begitu juga dengan surau kami apabila ada pengajian atau majlis-majlis tertentu. Kata mak aku sebelum SK TLDM tu ada ustaz ayah aku juga menajdi imam mereka, walaupun kawasan tentera aku selalu jugak ikut aruah ayah aku ke surau itu sebab menu-menunya sedap almaklumlah kawasan tentera layanan dan menunya sudahlah berbeza dari surau kampung. Sehingga kini surau kami terus aktif, nama surau pun ditukar dengan nama Surau Al Khairiah, siapa yang menukarnya aku pun tak tahu. Sehingga sekarang sesekali balik ke kampung aku akan cuba juga mengikut aktiviti surau. Walau pun Aruah ayah aku dah tiada dan Ayah Akak dah berhijrah ke kampung sebelah, surau kami masih aktif. Aku tahu Ayah Akak semacam kehilangan sesuatu selepas ayah aku meninggal dunia. Sekarang Andak Judin mengambil peranan Ayah Akak di atas surau dan adiknya Mak Teh Eton kedua-duanya anak Tok Uda Arip. Mak Teh memang pakar dalam masak-memasak dan caranya hampir sama macam Aruah Ayah aku dulu, riuh dan ramah, aku rasa banyak petua masakan ayah diwarisnya. Setiap petang pulak surau kampung kami masih riuh dengan suara anak-anak muda kerana disebelah surau kami ada gelanggang yang kadang-kadang untuk bermain badminton dan kadang-kadang sepak takraw, cuma bezanya gelanggang lama di belakang surau, gelaggang baru di depan surau depan rumah Andak Judin. Secara tradisinya kampung kami adalah lubuk pemain-pemain hebat dalam sukan badminton, kami jarang bermain bolasepak kerana tidak padang yang sesuai. Kalau nak pergi padang sekolah agak jauh tak padan nak main sepetang. Jadi kami main badminton sahaja walaupun kadang-kala kene ikut musim angin, kalau musim angin petang teruklah, nasiblah rimbun buluh disebelah sebagai penahan. Andak GG, Aruah Pak Cik Ayob bukan calang-calang orang di peringkat daerah, banyak kejuaraan yang mereka capai. Begitu juga generasi aku Piah, Amang, Pak Cu Kitan, Aruah Asri dan Mat Toya semuanya pemain-pemain hebat, kalu setakat kampung sebelah memang boleh pukul. Peringkat lawan mereka standing di peringkat daerah. Amang walaupun sebenarnya OKU kaki kanan tapi masih hebat. Aku suka berpasangan dengan dia kerana permainan serasi dengan aku. Generasi selepas aku keluar kampung diteruskan oleh Adik Aku yang bongsu Rahman dan Khairul menantu Alang Noriah. Kami akan berhenti bermain pada waktu azan maghrib kerana Ayah Akak dan Aruah ayah aku akan datang awal. Balik mandi dan maghrib pasti ada di surau. Sehingga sekarang aku cuba membawa anak-anak aku merasai pengalaman aku dulu dalam keterbatasan masa yang ada. CATATAN DI SURAU Bila Anda memulakan bergerak aktif dalam masyarakat cuba-cubalah rapat dengan surau di tempat tinggal masing-masing. Banyak peranan yang boleh dilakukan. Carilah rakan-rakan sebaya dan bantulah apa yang terdaya. Mulakan dengan ikut segala kelas pengajian dan cuba berjemaah di surau. Nanti AJK surau akan membuat aktiviti keagamaan, sertai dan bantu yang mana termampu. Jika ada ibadah korban sertailah setompok. Lama-lama anda hadir ke mesyuarat Agung surau pasti akan dilantik menjadi AJKnya. Bukan jawatan yang dicari tetapi peranan akan lebih berkesan di situ. Pengalaman dan idea anda akan mengaktifkan lagi surau di kawasan kejiranan anda itu.