Isnin, Mac 31, 2008

DAAT De BUNGA

Mandi bunga memang merupakan ritual orang Melayu yang mempunyai unsur-unsur yang sudah tersinkretis antara kepercayaan Dinamisme, Hindu-Buddha dan ‘Popular Islam’.
Dinamisme ialah kepercayaan adanya ‘tenaga tak berperibadi’ dalam diri manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, benda-benda hidup, perkataan yang diucap atau ditulis, dalam tanda-tanda yang dirakamkan dan sebagainya (O.K Rahmant S.H,1983:8). Dalam bidang antropologi, tenaga ini juga biasa disebut sebagai ‘mana’ dengan meminjam istilah rumpun suku Polynesia. Ia dikenali sebagai ‘sahala’ oleh orang Batak dan ‘kesakten’(kesaktian) oleh orang Jawa. Untuk orang Melayu, ‘mana’ dikenali sebagai ‘semangat’ (rujuk konsep ‘lemah semangat’ dan ‘kus semangat’). Di kalangan orang Melayu, ‘mana’ bagi raja-raja dikenali sebagai ‘daulat’ dan ‘tulah’ sedangkan bagi orang-orang ‘agama" (mulanya pawang dan dukun, kemudian sami dan ‘Tok Ca’, akhirnya alim-ulama’) dipanggil dengan ‘berkat’ dan ‘keramat’.

Dalam kepercayaan Hindu, tumbuh-tumbuhan mempunyai banyak kegunaan di dalam serba-serbi ritual yang dijalankan. Limau berfungsi mengusir hantu dan syaitan, sedangkan bentuknya yang bulat-bujur melambangkan dunia sebagai ‘chakra’ di sebuah makrokosmos di dalam falsafah occultisme Hindu. Saya pernah melihat ketika Thaipusam, salah satu varieti Kavadi yang dibawa dengan tujuan mahu bertaubat dan bersyukur kepada dewa-dewi, mencucuk bahagian-bahagian badannya dengan set cangkuk-cangkuk besi yang tajam. Satu set cangkuk terdiri daripada dua cangkuk dihubungkan dengan seutas tali khas. Satu cangkuk akan dibenamkan menembusi kulit dan daging pembawa kavadi sedangkan satu cangkuk lagi akan dibenamkan dengan buah limau nipis yang akan dibiarkan berjuntai sambil berat buah limau itu akan menambahkan ‘efek’ cangkuk yang dibenamkan ke dalam badan yang pertama tadi (mungkin lebih sakit dan lebih susah maka lebih banyak pahala dan keampunan dosa yang diberikan??). Sesiapa yang sempat meneliti koleksi poskad tentang tema seperti ‘Malaysian Festival’ atau ‘Penang’ Insya-Allah akan dapat melihat sendiri, kalaupun tidak mahu memerhati dengan lebih dekat akan perarakan di Batu Caves atau Pulau Pinang. Mandi juga merupakan salah satu ritual yang popular di kalangan penganut Hindu, misalnya mandi untuk menyucikan dosa-dosa di Sungai Ganges atau mandi minyak pada pagi Deepavali.

Unsur-unsur ‘Islam’ (‘Popular Islam as been understood’, bukan Islam yang berteraskan al-Qur’an dan Sunnah yang sahih) akan ketara apabila bacaan mantera akan dimasukkan lafaz basmalah, dan diakhiri dengan hamdalah dan syahadah (Haron Daud,2001). Orang yang mandi akan disuruh berselawat, membaca surah-surah tertentu, malah ada yang disuruh menghadap kiblat dan mandi ketika azan bergema. Semua ini lebih ketara apabila mandi bunga dianggap sebagai suatu wasilah kepada ‘ikhtiar dan tawakkal’. Lebih pening lagi apabila bomoh sendiri berpesan ‘Allah sahajalah yang menolong awak, saya cuma berikhtiar’(??). Mandi Bunga juga cuba dirasionalkan sebagai ‘agama’ sebagaimana mandi-mandi lain yang disyari’atkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih seperti mandi junub, mandi kerana menganut Islam, mandi sunnat hari jumaat, mandi sunnat Hari Raya, dan sebagainya.