Selasa, Julai 17, 2007

PEMIMPIN DILAHIRKAN?

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata satu perkara penting yang dipelajarinya sejak beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia kelima ialah manusia tidak semestinya dilahirkan sebagai pemimpin tetapi boleh diasuh menjadi pemimpin."Daripada laluan saya sendiri untuk menjadi Perdana Menteri, saya belajar banyak perkara."Satu perkara yang saya pelajari selama beberapa tahun ini ialah manusia tidak semestinya dilahirkan sebagai pemimpin tetapi boleh diasuh menjadi pemimpin," kata beliau.Belajar sendiri, pendidikan, latihan dan pengalaman adalah faktor penting bagi membentuk imej yang teguh dan personaliti seorang perdana menteri, katanya ketika melancarkan Yayasan Kepimpinan Perdana, pusat pembelajaran kepimpinan terkemuka negara, di sini Selasa.
Abdullah berkata beliau bertuah kerana mendapat peluang berkhidmat untuk kesemua empat Perdana Menteri Malaysia sebelum ini."Dengan rendah hati saya mempelajari kualiti kepimpinan yang baik, terutamanya nilai-nilai amanah, kebertanggungjawaban, keadilan, integriti, kesabaran dan keberanian dalam menghadapi kesusahan."Kebijaksanaan dan pengalaman yang saya peroleh daripada kepakaran mereka menunjuk ajar dan membimbing, telah menjadi sumber inspirasi yang kuat dan sumber yang membantu saya dalam melaksanakan tugas-tugas dan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri," katanya.Rakyat Malaysia, katanya, beruntung kerana wawasan dan dasar-dasar perdana menteri negara ini yang terdahulu memenuhi kehendak masa dan membentuk keutamaan-keutamaan negara.Abdullah berkata perdana menteri terdahulu juga telah menunjukkan menerusi wawasan, strategi dan pelaksanaan mereka, bagaimana "cabaran-cabaran luar biasa" -- cabaran-cabaran yang unik bagi Malaysia dan biasanya bukan satu kelaziman -- seharusnya diatasi dan ditangani."Bermula dengan (Perdana Menteri Malaysia pertama) Tunku Abdul Rahman yang mungkin telah mengambil jalan yang telah dilalui oleh India untuk berpisah secara damai daripada penjajah kita (Inggeris dan Belanda), tetapi Malaysia adalah unik kerana ia membentuk kerajaan pelbagai kaum," katanya.
Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, katanya, telah menubuhkan bilik gerakan negara untuk memantau pembangunan di seluruh negara manakala pelan pembangunan luar bandarnya mendapat sanjungan ramai dan telah dicontohi di banyak negara sedang membangun lain.Ini diikuti oleh Tun Hussein Onn yang telah mewujudkan Amanah Saham yang masih kekal sehingga hari ini dan berjaya menggalakkan rakyat Malaysia daripada semua tahap pendapatan dan kaum untuk menabung, tambahnya.Beliau berkata Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad pula telah memberikan negara ini, antara lain, kereta nasionalnya yang pertama, sebuah lapangan terbang bertaraf dunia dan menara berkembar tertinggi di dunia dan telah menetapkan arah Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020.Mengenai Yayasan Kepimpinan Perdana yang telah beroperasi sejak Oktober 2003, Abdullah berharap warisan para cendekiawan negara ini bukan sahaja dipulihara tetapi dikaji, dikembang dan dipersembahkan kepada rakyat Malaysia untuk menggalakkan perkembangan pemikiran dan perbahasan.Katanya beliau percaya yayasan itu telah membina asas yang kukuh ke arah ini dengan mengadakan kerjasama dengan institusi sedia ada bagi mengumpul dan mengarkibkan ke dalam bentuk digital bahan-bahan yang penting kepada negara yang boleh diperolehi orang ramai menerusi Internet.
"Barangkali masih banyak yang perlu dilakukan oleh yayasan ini sebelum ia dapat mencapai objektifnya menjadi sebuah institusi penyelidikan dan pembelajaran yang terunggul mengenai kepimpinan Malaysia," katanya.Beliau juga menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia supaya tampil menyatakan ikrar memberikan sokongan kepada yayasan itu."Saya juga menggalakkan institusi antarabangsa membentuk kerjasama untuk berkongsi sumber dengan yayasan ini," katanya.Abdullah juga mengulangi sokongan kerajaan kepada wawasan, objektif dan program yayasan itu dan menyatakan sokongan penuh kerajaan terhadap program-program dan kegiatannya."Saya percaya bahawa perjuangan yayasan ini adalah perjuangan yang amat berharga dan ia mahu menawarkan khidmat sebagai penghubung penting antara masa lalu dan masa depan negara," katanya.
Yayasan itu, yang dipimpin Dr Mahathir sebagai Pengerusi Kehormatnya, ditadbir oleh Lembaga Pemegang Amanah yang dipengerusikan oleh pengerusi Kumpulan Bank Arab-Malaysian Tan Sri Azman Hashim.-- BERNAMA