Selasa, Julai 17, 2007

MARI MAI SIAM

DI KALANGAN pengembara barat, Thailand dikenali dengan jolokan Krung Thep atau Kota Malaikat. Mungkin ada sesuatu yang harmoni mengenai kota ini apabila menyaksikan pemandangan sebahagian besar Bangkok disimbah cahaya matahari pada lewat petang.Tetapi di satu bahagian lagi, tersembunyi godaan sebenar Bangkok dengan deretan pelbagai jenis premis gelap di daerah merah, Patpong dan ‘plaza hiburan’ di sekitar Sukhumvit.Di celahnya, terletak pasar malam dekat Lumphini, Phatunam dan Chatuchak dengan 1,001 barangan yang terkini dan antik.Ibu negara Thailand ini diasaskan di sepanjang Sungai Chao Phraya oleh Raja Rama 1 pada 1782.

Hari ini, ia menjadi rumah kepada 13 juta penduduk yang tinggal di celah bangunan pencakar langit dan lebih 400 kuil, ada antaranya dibina di atas tanah tebus guna sawah padi atau kawasan paya.Kontra dengan imej antarabangsanya sebagai pusat perdagangan seks, kebanyakan rakyat Thailand masih bersikap konservatif, ‘manis-manis’ dan amat murah dengan senyuman.


Berikut 10 perkara yang perlu anda lakukan jika berkunjung ke Bangkok


1. JEJAKI WARISAN DIRAJARaja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej kini bersemayam di Istana Chitrlada Rohaton. Tetapi sebelum 1901, raja terdahulu menginap di Grand Palace. Istana ini menggabungkan seni bina Thai dan ‘Art Beaux’ abad ke-19. Kuil Buddha Zamrud di halaman istana memiliki galeri dengan 178 lukisan menceritakan riwayat klasik India, epik Ramayana mengikut versi Thai.


2. SUSURI NADI KEHIDUPAN BANGKOKAnda boleh melihat kehidupan perkampungan di beberapa klong (terusan) yang bersambung dengan Sungai Choa Phrya. Labuhkan sauh untuk makan malam romantis sambil menikmati udara malam kota. The Bangkok Noi Canal, umpamanya menyediakan ‘boat cruise’ menjelajahi rumah kayu lama dan kuil.


3. BERBELANJA SAKAN Memetik kata-kata penulis Amerika, Joe Cummings yang sudah 20 tahun bermastautin di sini: “Pasar minggu Chathchak adalah ibu kepada semua bazar di Asia.” Ada benar katanya. Lebih 10,000 kedai di atas tapak seluas 12.5 hektar yang sentiasa dipenuhi pengunjung yang memburu pelbagai barangan. Dari makanan, fabrik, perabot, lukisan sehingga buku terpakai.


4. SINGGAH DI LORONG BACKPACKERPengembara backpacker yang datang dari seluruh dunia menukar kawasan dipenuhi asrama bajet dan warung makan di Khao San menjadi lokasi paling hip di Bangkok. Menjadi tempat bersantai malam minggu oleh remaja Thai. DJ tempatan memutar lagu ‘trance’ di ‘The Club’, sementara golongan ‘expat’ bertumpu ke kelab blues dan R&B ‘Ad Here the 13th.’


5. JELAJAHI SENI SIAMWalaupun namanya tidak kedengaran tradisional, Joe Louis Theater adalah syarikat tunggal di Bangkok yang meneruskan amalan persembahan ‘hun lakorn lek’, patung puppet tradisional yang berusia lebih 100 tahun. Syarikat berusia 22 tahun itu menampilkan puppet setinggi 3 kaki yang dikendalikan pemain yang berpakaian gelap.


6. MAKAN MALAM DI PASAR TERAPUNGPasar Terapung Amphawa, 60 km di barat daya Bangkok, mungkin kurang dikenali berbanding Damnoen Saduak, tetapi menjanjikan pengamalan lebih menarik. Pasar ini dibuka dari 4 petang hingga 8 malam, pastikan anda mencuba paa-thong-koh (donat China) atau aw suan (omelet tiram) dari penjual yang memasak dari dapur di atas perahu.


7. HIDUPAN LAUT DI BUTIK FESYEN TERNAMAKuda laut dan sotong gergasi dipamerkan di celah deretan butik mewah di Siam Paragon, kompleks beli-belah terkini dan paling hip. Siam Ocean World (www.siamoceanworld.co.th) mempamerkan 30,000 hidupan laut yang boleh disaksikan menerusi terowong bawah tanah. Keluar dari akuarium gergasi ini, teruskan aktiviti dengan ‘window shopping.’



8. WARISAN SEJARAH NEGARAMuzium Kebangsaan Bangkok menjadi tuan rumah kepada manifestasi kebudayaan dan jati diri negara dengan mitos gajah putih ini. Paling mencuri perhatian adalah koleksi emas, lukisan, ibu mutiara, alat muzik klasik, ukiran kayu, tekstil, seramik, perabot, senjata lama, bot diraja dan fosil batuan.


9. SAKSIKAN KEGEMILANGAN ISTANABot ekspres dari ‘pier’ Phra Athit menuju ke Terusan Bangkok Noi yang menempatkan Muzium Perahu Diraja Kebangsaan. Saksikan sendiri perahu digunakan untuk majlis rasmi termasuk upacara pertabalan. Perahu terbesar di sini dihiasi dengan ukiran unik pelbagai motif dan digerakkan dengan kudrat 50 pengayuh dewasa.




10. BERSANTAI DI WATRumah kepada ratusan patung Buddha, Wat Po juga menjadi sekolah perubatan dan urut. Di luarnya, tukang tilik nasib menanti di sepanjang jalan menjadi tumpuan kepada pelancong. Boleh cuba untuk suka-suka. Tetapi jangan sesekali percaya.
APA ANDA PERLU TAHU MENGENAI THAILAND

1. Jangan terkejut jika aktiviti di Pasar Chatucak tiba-tiba sunyi sepi ketika lagu kebangsaan mereka dimainkan ketika pasar hendak ditutup. Lagu sama turut diperdengarkan sebelum tayangan filem di panggung wayang. Warga Thai sangat mengagungkan raja mereka.


2. Pilih teksi daripada tuk tuk sekiranya bergerak dalam kumpulan yang besar. Ini kerana tuk tuk hanya boleh membawa tiga penumpang. Kebanyakan warga Thai tidak boleh membaca Bahasa Inggeris, tetapi boleh memahami dan bertutur dalam bahasa berkenaan. Cara terbaik, bawa peta dan hafal nama-nama mercu tanda untuk ke satu-satu tempat untuk mengelak ditipu.


3. Simpan wang untuk membeli-belah di Chatuchak kerana harga di sini jauh lebih murah berbanding pasar malam lain di tengah kota. Bagaimanapun, pekedai di Chatuchak paling mesra pelancong berbanding di Phatunam yang lebih menumpukan kepada pemborong pakaian. Jangan sesuka hatimenawar tetapi tidak membeli di pasar malam di sekitar Silom dan Pat Pong.