Isnin, April 07, 2008

DAAT De KEPIMPINAN

Ramai orang berangan-angan ingin menjadi pemimpin. Mereka membayangkan apabila mereka menjadi pemimpin mereka dapat memimpin ramai orang lain. Mereka juga membayangkan mereka akan menjadi orang yang dihormati, disanjung dan dikagumi oleh ramai orang. Tidak kurang juga yang membayangkan dengan menjadi pemimpin mereka berpeluang menikmati kehidupan yang mewah daripada segi kebendaan.
Walaupun ramai orang yang ingin menjadi pemimpin, tetapi jumlah mereka yang berjaya menjadi pemimpin yang berkesan adalah sangat kecil. Kenyataan ini mendorong kita tertanya-tanya apakah faktor-faktor yang menyebabkan hanya segelintir orang sahaja yang berjaya menjadi pemimpin yang berkesan manakala kebanyakan orang gagal menjadi pemimpin yang berkesan.
Lazimnya orang mengatakan para pemimpin adalah mereka yang bergiat di dalam aktiviti politik. Memang ramai ahli politik yang mempunyai ciri-ciri pemimpin tetapi ramai juga orang-orang yang tidak bergiat di dalam bidang politik yang juga mempunyai bakat pemimpin sebagai contoh ramai tokoh usahawan dan tokoh-tokoh korporat yang mempunyai bakat-bakat kepimpinan yang amat tinggi. Malah bakat kepimpinan juga boleh didapati di kalangan ahli-ahli sukan.
Banyak kajian telah dijalankan oleh pakar-pakar psikologi untuk mengenal dengan pasti ciri-ciri yang dimiliki oleh mereka yang menjadi pemimpin-pemimpin yang berkesan. Kajian-kajian terbaru mendapati ada bukti-bukti yang menunjukkan terdapat aspek-aspek yang berbeza antara ciri-ciri pemimpin dan mereka yang dipimpin. Perbezaan-perbezaan itu juga boleh diukur. Para pengkaji menyimpulkan bahawa ciri-ciri peribadi tertentu bersama-sama dengan faktor-faktor lain mempengaruhi keber-kesanan seseorang pemimpin, terutama di dalam dunia perniagaan. Jadi lihat dalam diri kita terlebih dahulu pemimpinkah kita ini?