Isnin, Julai 16, 2007

BOLASEPAK BUNGKUS LAGI...!!!

Bila melihat pasukan bola sepak Malaysia dikeji setiap hari kerana persembahan yang teruk pada perlawanan pembukaan Piala Asia Selasa lalu, timbul rasa sedih dan kasihan. Bukan saja pemain, malah keluarga juga turut rasa tempiasnya. Jika pemain membaca dan mendengar komen dalam akhbar, radio dan televisyen yang mengutuk mereka habis-habisan, pasti mereka
Rasanya pemain pun sudah lali, kalau menang mereka tahu akan dipuji melambung tinggi, dan kalau kalah akan ‘dikeji’.Sebenarnya saya bukan nak menulis mengenai kisah duka sukan bola sepak Malaysia ini tetapi kisah sedih remaja dan anak muda yang sukar mencari tempat menunjuk bakat bermain bola sepak.Masalah ini bukan baru dan mungkin tidak dihadapi anak yang berada di kampung atau pedalaman yang masih banyak tanah lapang untuk mereka bermain bola atau apa saja aktiviti sukan lain. Kalau berada di Kuala Lumpur atau bandar dan kawasan pinggir bandar, kawasan lapang seperti ini memang sukar untuk dicari. Padang golf memang banyak... tapi rasanya hanya untuk kelompok tertentu.Bagi remaja dan anak muda usia belasan, aktiviti mereka amat terhad. Jika di sekolah, mereka boleh bermain bola sepak pada waktu senaman atau kegiatan kokurikulum. Tapi jika luar waktu sekolah, pagar sekolah dikunci dan mereka tidak ada tempat untuk bermain.Kita tidak boleh salahkan pihak sekolah kerana mengunci pagar kerana ini bagi mengelakkan perompak dan penyamun. Banyak barang sekolah seperti komputer dan pelbagai barang berharga yang perlu dijaga. Selain itu, ada juga padang bola diambil untuk didirikan bangunan sekolah yang baru dan yang tinggal hanya kawasan sekangkang kera untuk mereka melakukan aktiviti senaman dan aktiviti sukan yang terhad.Disebabkan itu, anak muda ini tidak mempunyai tempat untuk bermain atau terpaksa bermain bola di kawasan padang tidak sesuai. Bagaimana mereka boleh mengasah bakat jika tempat nak bermain dan belajar teknik bermain bola pun tak ada. Akhirnya jadilah mereka ‘mat lepak’.
Ini sebenarnya perlu mendapat perhatian pelbagai pihak kerana bukankah melentur buluh adalah daripada rebung. Kalau asasnya pun tak betul bagaimana boleh kita dapat hasil yang baik. Kalau di sekolah pun tak ada padang nak main bola, ditambah dengan ketiadaan guru untuk melatih, bagaimana kita dapat melahirkan jaguh bola sepak negara. Selalunya, sekolah yang ada padang dan guru untuk melatih mampu membentuk pasukan bola sepak yang bagus.Saya tinggal di kawasan pinggir bandar yang penempatannya agak padat dan memang tidak ada kawasan padang untuk anak bermain bola sepak antara sukan yang diminatinya. Suatu petang, dia balik ke rumah dengan rasa amat kecewa kerana padang tempat dia bermain bola sepak bersama kawannya ditutup untuk memberi ruang kepada pembinaan sebuah lagi bangunan, manakala sebahagian lagi ditutup daripada orang luar untuk mengelak daripada kejadian tidak diingini. Akhirnya selepas mencari pelbagai tempat, dia bersama rakan mengambil keputusan bermain di padang gondol yang memang tidak sesuai langsung untuk bermain bola sepak.Disebabkan ketika ini, institusi pengajian tinggi (IPT) turut mengambil kira kegiatan kokurikulum termasuk sukan sebagai merit untuk kemasukan ke IPT sewajarnya perkara ini turut diberi perhatian.
Memang bukan semua orang boleh menjadi jaguh. Jika mahu menjadi jaguh, bakat adalah amat penting, tapi jika kemudahan tak ada bagaimana kita dapat menggilap bakat. Mungkin kini ada pelbagai jenis kegiatan sukan baru yang diperkenalkan tetapi bola sepak adalah sukan rakyat yang amat dekat di hati mereka. Itu sebabnya orang tidak bising jika Malaysia kalah di padang golf tetapi akan terus bersuara jika kalah di padang bola. – yatisaid@baharian.com.my