Isnin, Januari 15, 2007

ETIKA KEPIMPINAN

Manusia dipilih oleh Allah menjadi Khalifahnya dibumi ini. Pada masa yang sama mereka dituntut supaya mengabdikan diri kepada-Nya dalam semua tindakan sama ada dalam urusan ibadah, urusan kehidupan dan sehingga urusan kematian. Pengurus mempunyai bidang tugas yang besar dan luas antara lainnya mengatur dan mentadbir pelbagai sumber anugerah Allah supaya dapat digunakan dengan sebaik-baiknya oleh umat demi kebahagiaan kehidupan mereka yang sementara di dunia ini dan saham bekalan bagi kehidupan mereka di akhirat. Maka sewajarnya setiap individu Muslim itu mempunyai akauntabiliti terhadap apa yang dilakukan. Lebih tinggi pangkat dan kedudukan dan lebih besar autoriti yang dipegang, maka lebih besar dan lebih beratlah akauntabiliti tersebut. Untuk itu Islam meletakkan garis panduan pengurusan dan kepimpinan yang baik iaitu berteraskan kepada penghayatan konsep khilafah, ukhuwwah dan tazkiyyah (Ismail Omar, Pengurusan Sumber Asli, IDMP, 2000).


Seorang pemimpin mesti berani (gambar hiasan)


Kepimpinan organisasi yang baik memerlukan pengurus yang sempurna. Malangnya hampir mustahil mendapat pengurus dan manusia yang sempurna pada hari ini jika kesempurnaan itu dinilai dari perspektif manusia lain. Para Rasul yang memang diiktiraf sempurna oleh Allah, namun tidak juga disenangi malahan ditentang oleh segolongan umatnya sendiri. Oleh kerana itu kesempurnaan yang dimaksudkan ialah suatu sifat yang ideal berdasarkan kepada syarat-syarat dan ciri-ciri universal yang dituntut oleh agama Islam.




Menurut Yusuf Ismail didalam bukunya ‘Mengurus Secara Islam’ menyebutkan bahawa prinsip kepimpinan Islam itu antaranya:


Mencari keredhaan Allah (At-Taubah, 72)
Melaksanakan makruf dan mecegah mungkar (Aali Imran 104-110)
Menjaga kesejahteraan masyarakat (Al-Baqarah 148, Al-Qasas 77)
Membangunkan individu semaksimum mungkin (Aali Imran 139, Al-Hujarat 13)
Melaksanakan syura (Aali Imran 159, As-Syura 38)
Mewujudkan jamaah (As-Saff 4)
Berlaku adil (Al-Maaidah 8, An-Nisa 129)
Berlaku Ihsan (An-Nahl 90)
Membuat keputusan sesuai dengan prinsip-prinsip Islam (Al-Maaidah 44,45, 47, 50)





ASAS KEPIMPINAN




Asas kepada kepimpinan Islam mestilah menjurus kepada 3 matlamat utama yang jelas iaitu (Mustafa Daud, 1996)




Akidah – hakikat kepimpinan itu adalah amanah Allah yang mempunyai implikasi kepada keimanan terhadap Rukun Iman yang enam yang pasti ditanya diakhirat. Yang berjaya memimpin dengan baik akan ke syurga dan yang tersasar akan ke neraka.




Syarak – mengakui dan menurut setiap syariat dan undang-undang yang diperuntukan oleh Allah didalam sumber teragung iaitu kitab Al-Quran dan Al-Hadith. Pematuhanya dikelaskan sebagai suatu ibadah seperti yang dikehendaki oleh Allah bahawa manusia itu diciptakan untuk tujuan beribadah.




Akhlak – ia adalah asas kepada kepimpinan Islam dan ianya mestilah bertunjang kepada aqidah dan syariat. Akhlak yang baik dan mulia secara langsung mencerna kepimpinan kearah kesempurnaan seperti yang dikehendaki oleh Allah swt.

Ciri-ciri pemimpin juga memberi impak yang besar kepada sesuatu kepimpinan.Pemimpin yang mempunyai sahsiah yang baik akan membawa kepimpinannya kepada kebaikan dan keharmonian.




Berkata Al-Imam Al-Ghazali didalam kitabnya Al-Iktisad fil Iktikad bahawa tidak sepatutnya soal ciri pemimpin diambil dengan hukum akal dan wajib berasakan kepada ciri syariat kerana tegas beliau (Abd. Hadi b. Awang, 1995):




"Agama itu dasarnya dan pemerintah itu pengawasnya, barang yang ada dasar itu runtuh dan barang yang tiada pengawas itu sia-sia"



Ingat-mengigati wajar dijadikan ciri utama seorang pemimpin


Hujjatul Islam ibnu Taimiyyah pula menyebut didalam kitabnya al-Siasah al-Syariyyah:
"Wajib diketahui bahawa mengendalikan urusan manusia itu termasuk didalam perkara yang besar wajibnya daripada perkara-perkara yang diwajibkan di dalam agama, tiada ditegak agama itu melainkan dengannya, maka sesungguhnya keturunan Adam itu tidak akan sempurna muslihat mereka melainkan ada pemimpin yang baik kerana satu malam bersama pemerintah yang zalim lebih baik daripada enam puluh malam tanpa pemerintah".






Keluarga tetap perlu diutamakan


Al-Imam Al-Mawardy menyebut lagi didalam Al-Ahkam Al-Sultaniyyah bahawa pemimpin itu adalah pengganti Rasulullah saw bagi melindungi agama dan mentadbir keduniaan
Ahkam Sultaniyyah terjemahan 1993




Sebab itu tambahnya lagi seorang penyair Jahiliyyah Al-Afwah Al-Audiyy ada bermadah:
Maksudnya tidak sesuai keadaan kucar kacir tanpa tokoh bagi orang ramai dan bukanlah tokoh jika yang berkuasa itu orang yang bodoh.




TANGGUNGJAWAB KEPIMPINAN




Kepimpinan menurut perpektif Islam bukanlah suatu kedudukan yang boleh dianggap istimewa atau perlu direbut-rebut kerana ia sebenarnya lebih bersifat amanah. Rasulullah saw pernah mengingatkan Abu Dzar Al-Ghifiri yang memohon diberi suatu jawatan mentadbir wilayah Islam dalam sabdanya:

Maksudnya : Sesungguhnya kepimpinan itu adalah suatu amanah, pada hari kiamat ia merupakan kehinaan dan penyesalan kecuali bagi mereka yang menunaikan amanahnya dengan sempurna seperti yang telah dipertanggunjawabkan.

Amanah menunaikan tanggungjawab bukan sahaja terhenti kepada menyempurnakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya kepada pengikut-pengikut, tetapi yang lebih penting dilihat oleh Islam ialah menyempurnakan amanah kepada Allah. Ibnu Taimiyyah didalam Siasah Syar’iyyah menekankan bahawa kriteria penting dalam melantik seorang pemimpin mengetuai sesuatu jawatan ialah memastikan mereka mempunyai dua sifat penting iaitu quwwah (keupayaan mentadbir dan mengurus) dan sifat amanah. Yang menariknya, Ibnu Taimiyyah sendiri, yang menulis buku berkenaan 800 tahun dahulu turut mengakui bahawa sukar sekali mencari individu pemimpin yang mempunyai kedua-dua sifat ini sekaligus pada dirinya.
Pemimpin mesti sentiasa mengejar kecemerlangan




" Menjalankan tugas dengan bersih, cekap dan amanah, setia dengan penuh minat, disiplin dan dedikasi.
" Sentiasa memberi keutamaan kepada kepentingan negara dan tidak mementingkan diri sendiri.
" Sentiasa berusaha meninggikan imej perkhidmatan dan organisasi.
" Membuat pertimbangan yang teliti dan adil sebelum membuat keputusan dan tegas dalam melaksanakannya.




SIKAP SEORANG PEMIMPIN


" Sensitif terhadap persekitaran kerja dan alam sekeliling dan berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling.
" Sentiasa bersikap positif dan bertanggungjawab.
" Mempunyai fikiran yang terbuka dan sedia menerima teguran dari semua pihak untuk faedah organisasi dan negara.
" Mengambil berat tentang masalah yang dihadapi rakan sejawat, baik pihak atasan mahupun rakan sejawat dibawahnya.





PERAWAKAN DAN PERIBADI




" Mempunyai peribadi yang mulia, berbudi pekeri dan perawakan yang baik.
" Sentiasa bersabar dan tenang dalam menghadapi masalah dan cabaran.
" Sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan.
" Menjaga hubungan baik bagi setiap golongan masyrakat.