Selasa, Julai 17, 2007

SEMANGAT IKAN LUMBA-LUMBA

Berlari merentas hutan sejauh dua kilometer (km), berkayak menentang arus dalam ribut, menyeberang titian tali dalam gerimis, sebelum menahan gayat untuk melakukan terjun bebas dari pelantar kapal dari ketinggian empat meter.


Bunyinya seperti babak dalam filem aksi Hollywood. Tetapi itulah cabaran paling “trill” dan memenatkan yang perlu dihadapi penulis bagi menamatkan dua “check point” pertama Wilderness Langkawi Challenge 2007 (WLC07), di Pulau Tuba, Langkawi baru-baru ini.Semuanya berlaku secara kebetulan. Menggantikan rakan yang mempunyai tugasan lain, penulis ‘dipaksa’ berpasangan dengan wartawan Malay Mail, Musliza Mustafa menyertai acara tahunan ini atas tiket ‘bidan terjun’.Dua kategori yang menguji fizikal dan mental peserta - ‘Slow & Steady’ dan ‘Fast & Furious’.




Pada edisi ini, penganjur, Wilderness Centre Sdn Bhd mewujudkan kategori khas di bawah “Slow & Steady” khusus untuk wakil media.Cabaran kategori ‘Slow & Steady’ bermula dengan larian, berkayak dan berenang sebelum kembali berlari sejauh 1.5 kilometer ke garis penamat.Untuk ‘Fast & Furious’, peserta boleh ke mana-mana destinasi ‘check point’ dengan berbekalkan peta lokasi dan petunjuk arah kompas sebagai rujukan. Setiap laluan dan ‘check point’ memberikan mata berbeza.




Cabarannya ialah peserta perlu bijak menyusun strategi, memilih cabaran dan laluan yang betul untuk mengumpulkan mata tertinggi bagi memastikan kemenangan selain faktor masa.Seperti kategori ‘Slow & Steady’, peserta kategori ‘Fast & Furious’ juga perlu melakukan pelbagai rutin seperti berlari, mendaki, berkayak dan merentasi hutan.Bezanya, cabaran mereka lebih getir apabila perlu berbasikal di kawasan berbukit-bukau hingga ke puncak tertinggi pada kedudukan 256 meter dari paras laut jika mahu mengutip lebih banyak mata.Keseluruhan jarak perlumbaan ekstrim Fast & Furious sejauh lebih 35 km. Bayangkan, stamina yang perlu mereka lalui berbanding peserta amatur dalam kategori kami sertai.Ketika badan masih letih akibat mengejar ‘deadline’ sebelum bergegas ke lapangan terbang, saya gagahkan diri untuk menyertai cabaran ini.




Bermula dengan larian sejauh dua kilometer menuju ‘check point’ pertama, kami mula berkayak melawan arus ombak dari pantai menuju kapal untuk ‘check point’ kedua yang berada empat km di tengah laut.Tidak sempat berehat, ujian menaiki titian tali sepanjang 50 meter dalam keadaan hujan renyai perlu dilalui.Sekali lagi keberanian kami diuji apabila diarah terjun ke laut dari pelantar setinggi 20 kaki. Cara terbaik, kami menjerit sekuat-kuatnya ketika terjun dari hujung pelantar yang lazimnya digunakan dalam sukan terjun bebas. Rasa gayat bertukar cemas apabila kembali timbul di permukaan air. Tugas berikutnya - kembali ke kenu dan berkayak menuju ke arah tanjung pantai. Dalam hujan diselang-seli guruh, kudrat seakan habis dikerah sepanjang perjalanan lima kilometer itu. Cuaca buruk menyukarkan lagi perjalanan.Hujan di tengah perjalanan.




Ombak pula semakin bergelora membuatkan sukar untuk mengawal kenu. Ada ketika, beberapa kenu kumpulan lain nyaris bertembung. Mengintai ke belakang, masih ada dua kumpulan ketinggalan.Percaya atau tidak, di tengah kekalutan ini sekumpulan ikan lumba-lumba mengiringi perlumbaan kenu kami. Kumpulan ikan seolah-olah meniup semangat kami yang mula luntur. Mahu atau tidak, kami perlu sampai ke pantai.Sampai ke ‘check point’ ketiga, kami perlu mencari kelapa tua sebelum menyelesaikan teka-teki untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya. Laluan denai berliku menjadi halangan seterusnya untuk ke ‘check point’ keempat. Sampai di sini, tanpa disedari kaki sudah calar-balar akibat meredah duri. Hujan yang reda seketika kembali lebat membuatkan badan semakin penat. Semuanya sudah tidak dihiraukan, apatah lagi mengenangkan perlumbaan tidak sampai suku lagi untuk ditamatkan. Kami diminta menuju ke Gua Wang Buluh yang terletak hanya beberapa ratus meter dari ‘check point’ keempat.




Ada sesetengah peserta yang kelihatan sudah ‘nyawa-nyawa ikan’, tiba-tiba ‘tunjuk taring’ apabila tiba-tiba berlari untuk ke garisan penamat.Rupa-rupanya, ia hanyalah gimik penganjur apabila gua itu menjadi ‘check point’ kelima. Mahu tersembul biji mata menahan geram memandangkan ratusan anak tangga sudah didaki untuk menamatkan peringkat ini.Hanya tiga km lagi, kata petugas yang mengawasi perlumbaan. Dengan saki baki kudrat yang ada, kami berlari sekuat hati merentas bukit bukau. Di kiri kanan, penduduk kampung yang menjadi penyokong setia beria-ia bersorak.Nampak saja kain rentang “TAMAT”, kami semakin yakin dapat menamatkan cabaran ini. Dari jauh, tepukan penduduk kampung semakin hangat. Terasa seakan-akan menamatkan acara dalam Sukan Olimpik.




Menjejakkan kaki ke garisan penamat terasa beban besar yang digalas sepanjang perlumbaan hilang sekelip mata. Biarlah hanya menang sorak, sekurang-kurangnya saya berjaya menamatkan cabaran. Sedar tak sedar, kami mengambil enam jam atau hampir setengah jam kami berlari tanpa henti bagi menamatkan WLC edisi tahun ini.INFO1. WLC07 yang dianjurkan kali ketiga ini menarik penyertaan 93 pasukan termasuk dari Eropah, Afrika, Australia dan Amerika. Turut sama, wakil Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Teknologi Kreatif LimKokWing (LUCT).2. Kategori Fast and Furious (Lelaki) dimenangi juara Ironman 2002 yang mengungguli kategori sama tahun lalu iaitu Zulkifli Shamsuddin, 43, dari Perak. Dia menewaskan peserta pilihan dari Perancis dan United Kingdom.3. Selain Harian Metro, pasukan media lain adalah Berita Minggu, New Straits Times (NST), Malay Mail, Kosmo, ntv7 dan The Star. Kosmo dan The Star turut menyertai kejohanan ini pada tahun lalu.4. Berdasarkan penyertaan menggalakkan tahun ini, Pengerusi Eksekutif Wilderness Centre Sdn Bhd dan Kumpulan Halim Mazmin, Tan Sri Halim Mohammad, berkata pihaknya mengkaji untuk mengadakan kategori khas untuk pelajar pada edisi berikutnya. MENGENAI WILDERNESS Wilderness Centre Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan Halim Mazmin ditubuhkan pada akhir 2002 di Pulau Tuba.




Sejak diberi kepercayaan oleh Kementerian Pendidikan menyelia program cabaran rimba untuk pelajar dan guru seluruh Malaysia, WCSB sudah melatih 15,000 peserta.WLC07 pula adalah projek tahunan antarabangsa bagi mempromosikan Pulau Tuba sebagai destinasi sukan ekstrim antarabangsa. Ia adalah salah satu usaha untuk merealisasikan tanggungjawab sosial syarikatnya.Bagi anda yang berminat untuk mengetahui aktiviti lasak yang dianjurkan oleh syarikat ini, boleh melayari www.wildernessmalaysia.com atau hubungi 04-966 8000 (Langkawi) atau 03- 2730 5000 (Kuala Lumpur).