Selasa, Julai 17, 2007

INSTITUT PEMIKIRAN TUN DR MAHATHIR



UUM telah diberi penghormatan oleh Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pendidikan untuk menubuhkan Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad (IPDM) pada 19 Ogos 2003.

Idea untuk menubuhkan institut ini telah dicetuskan oleh para perwakilan semasa Persidangan Agung UMNO
yang ke-54 pada 19 Jun 2003. Lanjutan daripada itu, satu badan perundingan (think tank) telah dibentuk yang ahli-ahlinya terdiri daripada tokoh-tokoh kenamaan dan pelbagai idea telah dicetus oleh badan ini melalui sumbang saran pada 28 Ogos 2003.

Fungsi utama IPDM adalah menjadi pusat rujukan utama terhadap idea, wawasan dan pemikiran
Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ke-4. IPDM juga bertanggungjawab untuk meneliti dan menganalisis struktur percambahan idea yang boleh diguna pakai oleh generasi kini dan masa depan. Di samping itu, penubuhan institut ini juga adalah satu usaha untuk menghargai sumbangan dan kepimpinan tokoh-tokoh negara.

Selain itu, institut ini juga bakal menjadi medan penyelidikan dan pengendalian seminar, simposium, persidangan dan kolokium dalam pelbagai aspek pemikiran
Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad. Antara bidang-bidang utama yang diberi tumpuan ialah pendidikan, kepimpinan belia/beliawanis, keselamatan, politik, pengurusan, perundangan, ekonomi, kewangan Islam, hubungan antara agama, dasar luar dan isu-isu globalisasi, sains dan teknologi termasuk ICT dan pembangunan sumber manusia.

Visi:
Menjadi pusat rujukan utama pemikiran
Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Misi:
Mewacanakan pemikiran
Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad

Objektif:

Menjadi pusat penyelidikan, pengumpulan dan rujukan utama tentang pemikiran
Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad;

Meneliti dan menganalisis struktur percambahan pemikiran
Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad yang boleh diguna pakai oleh generasi kini dan masa depan, di peringkat kebangsaan dan antarabangsa;

Menjadi pusat wacana intelektual tentang pemikiran dan kepimpinan tokoh-tokoh negara dan antarabangsa;

Menterjemah pemikiran
Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad ke dalam program dan aktiviti yang berbentuk akademik dan profesional;

Memberi input kepada pihak kerajaan bagi menggubal dan melaksanakan dasar-dasar yang berkaitan dengan ketahanan nasional.


Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad
Universiti Utara Malaysia
06010 Sintok, Kedah
Tel: 04-9284010 Faks: 04-9284005

(adaptasi dari ipdm.uum.edu.my)