Jumaat, Januari 11, 2008

KORPORAT CONTOH

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mahu rakyat berbilang kaum supaya sentiasa mengutamakan perpaduan, persefahaman, tolak ansur, kerjasama serta berbaik sangka bagi menjadikan Malaysia negara yang aman dan damai. Seri Paduka bertitah, rakyat juga perlu sentiasa mengambil berat sesama anggota masyarakat serta berusaha memastikan keamanan yang dinikmati terus terpelihara. "Pada masa sama, hendaklah dijauhi daripada wujudnya suasana tegang, tidak menghormati sesama sendiri dan mengelak melakukan perkara sensitif atau tidak mematuhi undang-undang," titah baginda.


Seri Paduka bertitah demikian pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1429 Hijrah/2008 Masihi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam. Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah. Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin.


Pada majlis itu, tokoh korporat terkemuka dan dermawan, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, 56, dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah 1429H.