Rabu, Januari 09, 2008

MAAL HIJRAH
















Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala, dengan melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, mudah-mudahan kita mendapat rahmat dan keselamatan serta berbahagia di dunia dan di akhirat.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala di atas limpah kurnia-Nya telah melanjutkan usia kita sekali gus memberi peluang kepada kita untuk menemui Tahun Baru Hijrah 1429. Walaupun peristiwa Hijrah telah lama berlalu namun ia masih tetap disambut dengan meriah lagi gembira oleh seluruh umat Islam di dunia setiap kali menjelangnya bulan Muharam.


Ini kerana tahun Hijrah merupakan simbol di sebalik satu kisah sejarah yang agung di mana kita harus sentiasa mengingatinya iaitu peristiwa hijrahnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Hijrah bererti berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Dalam konteks kelakuan manusia pula, bolehlah didefinasikan hijrah ini seperti berubah dari kelakuan buruk kepada kelakuan dan kehidupan yang lebih baik. Apabila disebut perkataan Hijrah, kita telah menyingkap kembali peristiwa yang berlaku ke atas junjungan Nabi s.a.w. . Hijrah Nabi dan pengorbanan beliau bersama-sama sahahatnya Abu Bakar As-Siddik, telah menyebabkan tersebarnya agama Islam. Setelah 13 tahun beliau menyampaikan dakwahnya di Mekah, pelbagai tentangan diterima, akhirnya Nabi diwahyukan untuk berhijrah.



Sebagai umat Islam kita hendaklah sentiasa bermuhasabah diri, berjuang untuk menegakkan kebenaran di atas muka bumi Allah s.w.t, menjadikan hukum Allah sebagai undang-undang dan kedaulatan di dalam negara kita. Lihatlah dan perhatikan keadaan di dalam negara kita sendiri, jika segala kemungkaran dan kemaksiatan tidak dapat dicegah, maka kita hendaklah berhijrah dan bertukar kepada pemerintahan yang lebih baik.







Firman Allah dalam SurahAs-Saf ayat 10-11 maksudnya :



"Wahai orang-orang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu peniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab sekasa yang tidak terperi sakitnya?, Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)".




Dan ketabahan Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam itu yang telah menjadi dorongan dan penyuntik semangat kepada umat Islam yang lain untuk turut sama berhijrah ke Madinah. Tanpa rasa kesal mereka pun meninggalkan apa yang dimiliki kerana di hati mereka telah tumbuh perasaan kasih dan cinta yang sangat mendalam kepada Allah Subhanahu Waatala dan Rasul-Nya.



Telah jelas terbukti bahawa hijrah memerlukan pengorbanan dan ketabahan. Dari kisah dan peristiwa hijrah tersebut dapatlah kita mengambil contoh akan bagaimana sikap Baginda Rasulullah dan para sahabat pada ketika itu yang tidak sayangkan harta duniawi.
Bahkan mereka juga mempunyai semangat waja dan kegigihan yang kuat serta memiliki tahap kesabaran yang tinggi terhadap keperitan dari kezaliman dan penyeksaan yang dilakukan ke atas diri mereka. Dan yang paling istimewa ialah sikap kaum Muslimin pada ketika itu yang tidak memandang harta, darjat, pangkat dan keturunan sebagai ukuran sebagai bersaudara. Kaum Muhajirin dan Ansar hidup dalam keadaan harmoni dan bersatu padu di bawah pimpinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Tidak ada permusuhan, dengki- mendengki, buruk sangka dan sebagainya.


Oleh kerana itu, kita perlu merenung kembali dan mencontohi bagaimana cara kehidupan beragama dan bermasya-rakat yang diamalkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan para sahabatnya. Jadilah kita masyarakat Islam yang sebenar. Kita teladani bagaimana sikap umat Islam pada zaman Rasulullah, di mana kaum Muhajirin dan Ansar bersatu padu dalam apa pun jua keadaan. Malahan mereka juga mengasihi saudara-saudara mereka sama seperti mengasihi diri sendiri. Perasaan inilah yang ditanamkan oleh Rasululah Sallallahu Alaihi Wasallam di hati orang-orang Islam bagi menwujudkan sebuah masyarakat yang padu dan berkasih sayang antara satu sama lain sehingga akhirnya menjadilah umat Muhammad sebagai sebuah keluarga yang besar di bawah pegangan satu agama yang agung iaitu agama Islam.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Hujaraat ayat 10 :
"Sebenar orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertelingkah itu. Dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."