Dalam banyak jawatan dalam mana-mana organisasi Setiausaha adalah jawatan yang paling banyak hendak dielakkan oleh semua orang, selain Pengerusi jawatan Setiausaha adalah tulang belakang yang paling besar bagi memacu organisasi mencapai matlamatnya, bukan sedikit kisah persatuan yang lumpuh kerana Setiausaha kurang aktif. Penulis secara peribadinya sangat bertuah kerana mendapat latihan menjadi Setiausaha ini dengan seseorang yang perlu dirakamkan di sini.
Ketika penulis berusia 20 hingga 25 tahun masih menetap di kampung dan telah diberikan banyak tanggungjawab menjadi Setiausaha dan penolong setiausaha di masjid di kampung antaranya ;
i. Setiausaha Biro Belia Masjid Ar Rahmaniah
ii. Penolong Setiausaha Tabung Kebajikan Kampung Sungai Wangi
iii. Penolong Setiausaha Masjid Ar Rahmaniah
iv. Penolong Setiausaha Jawatankuasa Pembinaan Masjid Baru Kampung Sungai Wangi
v. Penolong Setiausaha Badan Pemuafakan Kampung Sungai Wangi
Di mana jawatan penulis sebagai Penolong Setiausaha, Setiausahanya adalah Pak Cik Hashim Tecklan, seorang pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Kepalanya yang botak dan sedikit gagap tetapi ketelitian dan pengurusan yang sangat baik menyebabakan masjid kampung kami sangat aktif ketika itu, pengurusan yang kemas walaupun masih bangunan kayu yang lama. Beza dengan masjid dengan bangunan baru sekarang.
Penulis belajar banyak perkara dari mencatat minit mesyuarat, laporan dan surat menyurat dari beliau. Mengambil minit mesyuarat sebenarnya bukan sekadar menulis tetapi memberikan pemahaman yang lebih tepat dalam semua yang dibincangkan. Kadangkala dalam mesyuarat yang tidak teratur di mana semua orang hendak bercakap, Setiausaha terpaksa lebih teliti dan fokus apa yang hendak dibincangkan. Kadangkala ketika Ahli Jawatankuasa sentiasa menambah bihun dan asyik mengunyah karipap, Setiausaha kadangkala sebu perutnya kerana serabut banyak sangat hendak dicatat. lagi satu yang lebih penting, minit mesyuarat jangan dibiar perap terlampau lama, nanti banyak yang anda lupa !
Tetapi yang lebih penting adalah latihan, latihan dan latihan !
Bagi penulis, Pak Cik Hashim Tecklan telah memberikan penulis ruang yang besar ketika menjadi penolongnya.
Institusi yang paling banyak memberikan ruang adalah MASJID AR RAHMANIAH KAMPUNG SUNGAI WANGI Masjid kampung teman, banyak yang penulis belajar di sini !
Kemahiran yang perlu dikuasai oleh seorang Setiausaha,
i. Surat-menyurat
ii. Sistem failing
iii. Menulis minit mesyuarat
iv. Asas Pengendalian majlis rasmi
v. Merancang bajet organisasi
Dari sekolah lagi kita telah banyak belajar perkara tetapi tanpa mempraktikannya mungkin anda hanya belajar teori semata-mata, pergilah mana-mana pusat latihan ataupun pergilah ke Pejabat Belia dan Sukan Daerah dan daftarlah Kursus Pengurusan Organisasi.
Selepas itu, penulis menjadi Setiausaha Persatuan Seni Silat Gayung Ghaib Negeri Perak, sebuah persatuan seni silat yang diwarisi dari Jawatankuasa yang lama dengan penuh amanah dan tanggungjawab, ketika itu persatuan ini mempunyai cawangan hampir di seluruh daerah di Negeri Perak dan ribuan ahli-ahlinya. Nnatikan kisah ketika menajdi Sentiausaha ini dalam post yang lain.
Ketika itu juga, penulis sangat rapat dengan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana Imam Masjid merangkap Pengerusi Masjid adalah aktivis ABIM di Daerah Manjung dan Negeri Perak. Ketika itu juga penulis ditawarkan menjadi Setiausaha Kerja ABIM Beruas. Tugasnya agak kalut jugak sebab ABIM Beruas ketika itu sedang dalam proses membuka pra sekolah atau Taski,
bersambung...
kenangan dengan AJK Rakan Masjid, sebelah kiri penulis Saudara Shahril Yahya Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lumut kini. Beliau juga abang kepada Imam Muda Hassan, Juara IM Musim Ke 2. Generasi rakan masjid terbaik pada zamannya.