Selasa, Oktober 25, 2011

Power DAT@ Baiah

Aku mempunyai personaliti berlapis. Walaupun aku bukanlah seorang yang sesempurna mungkin dan juga mungkin bukan yang terbaik tetapi aku mempunyai sisi dunia yang tak mampu dijangkau oleh manusia biasa. Aku mulakan satu demi satu. Semuanya memerlukan baiah dan perjanjian taat setia yang nyawa menjadi galang gantinya...


Ketika masih kecil aku sudah berbaiah bertariqat dengan Almarhum guruku. Bertawajjuh setiap malam selasa dan malam jumaat sudah menjadi rutin aku ketika kecil lagi. Dengan jubah putih atau hijau dan dengan serban yang diikat rapi. Satu lagi serban dibalut dikepala. Sebijik macam Arab Badwi yang marhain di padang pasir. Dalam bertariqat yang aku anuti ada juga peningkatan dan peperiksaan yang perlu dipenuhi, untuk meningkatkan amalan dan ketaqwaan...


Ketika rakan-rakan aku masih teraba-raba makna hakikat, syariat dan makrifat aku telah pun bersimpuh seperti tahiyat akhir didepan guruku " Aku datang dari lautan dosa dan taksir... izinkan aku bersuluk dengan tuan hamba 10 hari..." Lafaz seperti itu memutuskan aku dengan dunia luar, tugas aku hanya beibadat, bersolat apabila masuk waktu dan selebihnya berzikir dan berzikir, siang dan malam, dari pagi ke petang dan dari subuh ke dinihari.


Adab bersuluk tidak boleh makan benda yang berdarah selama 10 hari itu. Kata ulama suluk dalam pengajian mereka Imam Ghazali rahimahullah sebelum menulis kitab Ihya' Ulumuddin akan bersuluk selama 40 hari terlebih dahulu.


Dalam peningkatan zikir itu dari Zikir di Latifatul Qalbi meningkat ke Lalifatul Roh sehinggalah ke Kulli Jasadi. Akhirnya guru akan mengijazahkan peningkatan dari satu tingkat ke satu tingkat, dari Nafi Isbat ke Wuquf Qalbi dari Wuquf Qalbi ke Muraqabah... satu perjalanan zikir yang amat panjang dari segi amalan dan rohnya.


Selepas umurku mengajak ke remaja, seorang guru silat tersohor telah datang berpindah kerana bertugas di kampung aku. Apabila melihat kebanyakkan remaja di kampung tanpa aktiviti yang bermanafaat beliau telah membuka gelanggang silat di padang sekolah rendah aku dahulu. Mula dari saat itu setiap hari jumaat malam sabtu aku dan rakan-rakan sebaya di kampung bersilat. Dari satu tahap ke satu tahap, dari satu warna tali pingang ke satu warna yang lain, dari tangan kosong ke tangan sebelah, menginjak ke permainan tongkat, kayu, dan seterusnya keris, parang, tekpi, dalam kain sarung dan 1001 permainan lagi. Dari gelanggang terbuka di padang sekolah kami mempunyai gelanggang sendiri yang akhirnya di iktiraf sebagai ibu gelanggang perguruan kami. Aku sendiri dari pesilat menjadi ketua Gelanggang naik menjadi pembantu jurulatih, dan akhirnya menjadi jurulatih di gelanggang aku sendiri. Ketika itu tiada hari tanpa silat, sehinggakan aku dibayar gaji bulan oleh persatuan atas tanggungjawab itu.


Pada majlis penutup kemuncak kami setelah semuanya memakai tali pinggang hitam 3 Dan kami berbaiah lagi untuk bersama mempertahankan negara ini dari ancaman komunisme dan sebarang anasir yang merancang menjahanamkan negara, Majlis Penamat yang penuh adat-istiadat pesilat melayu yang sukar dimergertikan oleh akal manusia biasa. Basahan air mandian sintok, daun sireh bertemu urat dan kapur barus menjadi bauan yang aku rindukan sehingga kini. Apakah pembaca memahami perasaan itu?


Apabila aku menganjak menjadi seorang dewasa, aku telah dipinang oleh seorang kekanda-kekanda aku dalam bersama berganding bahu menggalas tanggungjawab kepada agama, bangsa dan tanahair. Maka aktiviti harian aku semakin bertambah sibuk dengan aktiviti selepas berbaiah. Ketika aku berhijrah meninggalkan kampung halaman ke satu daerah yang terasing dan sunyi kehidupan 'underground' aku semakin meluas dan penuh berliku. Nak buat kerja ini mesti berjalan di dalam gelap, derap kasut kena tak berbunyi... sehingga kini derap kasut masih tak berbunyi...


Apabila menjadi underground berapa lama akhirnya aku juga menjadi kekanda, bukan sebagai penarik kereta atau pengutip wang berlesen. Aku menitikberatkan pembangunan ilmu kepada adinda-adindaku, belajar sehingga hayat dikandung badan dan aku sendiri masih belajar di sebuh Universiti tempatan di sebuah pulau. Sehingga kini aku masih mempunyai adinda-adinda yang memahami aspirasi ini...


Jauh dalam meniti kehidupan, sisi dunia asing aku berjalan serentak dengan dunia luas aku... sampai bila? entahlah... aku selesa begini dan penuh kerahsiaan, mungkin kerana itu juga aku semakin suka berpakaian warna hitam di khalayak ramai dan putih apabila mengadap tuhan di tikar sejadah...


(kisah ini adalah sorotan dr cerpen penulis, baru belajar2 nk menulis, bahasa tak sesedap yang diminta oleh mata dan enak di dengar oleh telinga... tunggu sahaja di pasaran nanti)

Ahad, Oktober 23, 2011

Power DAT@ Pelancaran Bulan Bahasa

Aku diminta oleh bos aku untuk mewakili beliau ke Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri. Setibanya di sana seperti biasa, banyak muka yang aku tak kenali langsung, rata-ratanya ketua jabatan yang hadir pun aku tak pernah lihat, selainnya adalah pelajar-pelajar sekolah dan pelatih PLKN. Aku selesa begitu, bebas untuk bergerak dan ambil kedudukkan yang aku fikir strategik.Dalam majlis tersebut baru aku tahu bahawa bulan Oktober sememangnya merupakan bulan bahasa kebangsaan.




Antara lain pengisiaannya ialah Ucapan Pelancaran oleh Menteri Besar, Gimik Pelancaran, Persembahan Lagu Puisi, Deklamasi Sajak, Syair dan Gurindam. Memang menarik. Selepas persembahan tersebut satu Wacana Kecelaruan Penggunaan Bahasa oleh Ahli Panel yang banyak memberikan kesedaran tentang penggunaan tatabahasa yang betul baik dalam tulisan dan sebutan harian. Banyak yang boleh aku pelajari.




Selepas tamat majlis kami ketua-ketua jabtan atau wakil dijamu dengan menu yang hebat. Aku juga yang memang lapar tak keberatan untuk menjamu selera yang disediakan. Sambil-sambil menjamu selera itu, aku terfikir kenapakah setelah negara kita merdeka selama 54 tahun Bahasa Kebangsaan kita seperti masih dianggap lekeh oleh kita sendiri yang kononnya mengaku sebagai pejuang bangsa ... tetapi kesedapan ikan siakap tiga rasa yang aku jamah membantutkan jawapan yang dicari dan aku lihat tetamu yang lain juga asyik dengan hidangan masing-masing disulami bunyi sudu dan garpu masing-masing.